KOTA KINABALU: Penjawat awam negeri Sabah menerima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 menerusi Belanjawan 2026 Sabah yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bayaran membabitkan 18,853 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan dianggarkan RM52.6 juta.
"Penjawat awam Sabah adalah nadi utama jentera pentadbiran perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, selain pelarasan gaji, Kerajaan Sabah juga ingin membawa khabar gembira kepada Penjawat Awam Sabah dengan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Sabah termasuk yang berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian.
"Bantuan Kewangan ini akan dibayar dua fasa iaitu pada Februari sebelum Aidilfitri dan sebelum sambutan Kaamatan 2026.
"Bantuan Khas Kewangan ini turut dipanjangkan kepada pesara Kerajaan Sabah berjumlah RM1,000 yang akan dibayar tahun depan," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Terdahulu, beliau berkata Kerajaan Sabah memperuntukkan RM7.6 juta bagi menggalakkan pembelajaran secara berterusan dalam kalangan penjawat awam sebagai usaha membentuk barisan pegawai berpengetahuan, berkemahiran tinggi, memiliki keupayaan analitikal dan kepimpinan masa hadapan.
"Selain itu, RM16.85 juta diagihkan di semua agensi kerajaan Sabah di bawah pembangunan sumber manusia bagi memastikan penjawat awam terlatih, cekap dan dilengkapi dengan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi cabaran semasa," katanya.

