Menjelang tahun 2027, kapasiti LSS Sabah dijangka melebihi 350MW
15:12 Dec 12, 2025  |  By SabahKini2
Menjelang tahun 2027, kapasiti LSS Sabah dijangka melebihi 350MW

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata unjuran itu dipacu projek sedia ada bersama projek yang sedang dilaksanakan di pelbagai lokasi strategik seluruh negeri.

KOTA KINABALU: Kapasiti tenaga Solar Fotovolta Skala Besar (LSS) di Sabah dijangka melebihi 350 megawatt menjelang 2027 sekali gus menyumbang kira-kira 23 peratus daripada keseluruhan campuran penjanaan elektrik negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata unjuran itu dipacu projek sedia ada bersama projek yang sedang dilaksanakan di pelbagai lokasi strategik seluruh negeri.

Beliau berkata, perkembangan positif ini menunjukkan keupayaan Sabah meluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui selari usaha mencapai ekosistem tenaga moden dan mampan.

Menurutnya, satu lagi projek LSSPV di Kota Marudu yang dijangka siap pada 2026 akan meningkatkan lagi kapasiti penjanaan tenaga hijau di Sabah.

“Keutamaan kini turut diberikan kepada pengenalan teknologi penyimpanan tenaga di beberapa kawasan bagi mengurangkan gangguan elektrik.

“Inisiatif itu juga diyakini mampu menyokong integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui dengan grid utama secara lebih stabil dan konsisten,” katanya.

Beliau berkata, Sabah Electricity sedang bekerjasama rapat dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) demi memperkukuh pelaksanaan agenda elektrifikasi negeri.

“Antara fokus kerjasama itu termasuk Pelan Hala Tuju Elektrifikasi Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah atau SabahRE2 yang digerakkan secara berfasa.

“Usaha memperluas capaian elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman turut diberi perhatian selaras matlamat memastikan akses tenaga yang saksama kepada rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri kekal teguh dalam komitmen meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di seluruh Sabah.

Beliau menegaskan kestabilan dan daya tahan sistem tenaga jangka panjang menjadi faktor utama dalam menarik pelaburan berkualiti.

Katanya, keyakinan pelabur dipengaruhi keberkesanan perancangan tenaga yang disokong kerjasama bersepadu antara Sabah Electricity, ECoS dan agensi persekutuan.

Melalui kerjasama itu, kerajaan berusaha membangunkan ekosistem tenaga yang selamat, futuristik dan mesra pelabur.

Sabah juga sedang menilai potensi teknologi baharu bagi mengoptimumkan penjanaan, penyimpanan dan pengedaran tenaga mengikut keperluan semasa.

Hajiji berkata, keutamaan akan terus diberikan kepada projek yang memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Sabah Electricity atas pengiktirafan diraih di Project Management Award (PMA) 2025.

Penganugerahan peringkat serantau itu berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini dan menghimpunkan pelbagai organisasi utiliti serta teknologi.

Sabah Electricity menerima beberapa anugerah hasil pelaksanaan projek BESS yang dinilai mempunyai impak tinggi dalam sektor utiliti dan tenaga.

Pengiktirafan itu dilihat mengukuhkan lagi reputasi syarikat dalam menerajui inovasi tenaga moden di Sabah.

Hajiji berkata kejayaan berkenaan juga menggambarkan kemampuan profesional tempatan mengurus projek strategik berimpak besar.

Beliau berharap kemenangan itu menjadi pemangkin kepada usaha lebih kukuh dalam mempercepat transformasi tenaga negeri.

Di samping itu, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan projek tenaga bagi memastikan setiap pelaksanaan mematuhi sasaran dan jadual kerja.

Beliau menyeru semua agensi berkaitan terus berganding bahu memastikan pembangunan tenaga Sabah bergerak seiring aspirasi negeri dan negara.

Hajiji berkata komitmen menyeluruh ke arah tenaga bersih diyakini mampu memperkukuh daya saing Sabah dalam masa terdekat.

Katanya Sabah berada pada landasan jelas menuju ekosistem tenaga yang lebih mampan, moden dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Comment