PITAS: Sebuah asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Pinapak, di sini, terbakar dalam kejadian pagi tadi sebelum tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api dalam tempoh kurang 15 minit selepas tiba di lokasi.
Kebakaran yang dilaporkan pada jam 8.10 pagi itu membabitkan bangunan asrama jenis kekal dengan anggaran keluasan 504 meter persegi.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas bergegas ke lokasi sejauh 28 kilometer dan tiba pada jam 8.48 pagi.
Ketua BBP Pitas, Noor Jali Maslah berkata, sebaik tiba, anggota mendapati api sedang marak di bahagian struktur bangunan sebelum operasi pemadaman dilaksanakan secara ofensif.
"Kami menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air dari jentera bomba. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.58 pagi.
"Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu dan pemeriksaan susulan dijalankan bagi memastikan kawasan benar-benar selamat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Operasi pemadaman turut dibantu BBP Kota Marudu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

