Ibu Zara Qairina serah telefon bimbit kepada polis
18:08 Aug 07, 2025  |  By SabahKini2
Ibu Zara Qairina serah telefon bimbit kepada polis

Kehadiran Noraidah Lamat dan pasukan kira-kira 3.30 petang, bagi menyerahkan telefon bimbit miliknya untuk siasatan lanjut pihak berkuasa.

KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ini hadir ke Balai Polis Karamunsing, di sini bersama pasukan peguam dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Kehadiran Noraidah Lamat dan pasukan kira-kira 3.30 petang, bagi menyerahkan telefon bimbit miliknya untuk siasatan lanjut pihak berkuasa.

Sidang media juga dijangka diadakan selepas proses penyerahan selesai.

Difahamkan, telefon bimbit itu mengandungi rakaman audio perbualan antara wanita itu dan anaknya, termasuk sebelum berlakunya kejadian malang terbabit.

Rakaman dijangka menjadi sebahagian elemen penting dalam mencari punca sebenar kematian pelajar tingkatan satu itu.

Zara Qairina, 13, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu.

Sejak kejadian, pelbagai spekulasi dan teori tular di media sosial termasuk dakwaan membabitkan unsur jenayah dan buli.

Susulan itu, pihak keluarga melalui barisan peguam membuat permohonan kes berkenaan disiasat semula dan membenarkan kubur arwah digali untuk proses siasatan lanjut termasuk mahu diadakan inkues menentukan punca sebenar kematian.

Minggu ini, pakaian yang dipakai arwah pada malam kejadian turut diserahkan kepada polis, manakala serahan telefon bimbit hari ini menandakan kerjasama berterusan daripada pihak keluarga demi memastikan siasatan berjalan lancar.

Comment