PPM rampas rokok seludup bernilai RM2 juta di Lahad Datu
18:08 Aug 07, 2025  |  By SabahKini2
PPM rampas rokok seludup bernilai RM2 juta di Lahad Datu

Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 1,622,800 batang rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam longgokan plastik hitam di dalam kedua-dua van berkenaan.

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai kira-kira RM2 juta di kawasan Batu 8, Jalan Silam, awal pagi tadi.

Dalam operasi jam 1 pagi itu, sepasukan anggota PPM Lahad Datu menahan dua buah van putih yang mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas kenderaan terbabit.

Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 1,622,800 batang rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam longgokan plastik hitam di dalam kedua-dua van berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, berkata kejayaan rampasan itu adalah hasil operasi yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2,087,420 menjadikan ia antara rampasan rokok seludup terbesar di Lahad Datu setakat ini.

“Dua lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 38 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

“Rampasan ini satu kejayaan besar dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan rokok yang merugikan hasil negara,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Nazri berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PPM dalam membanteras penyeludupan, khususnya di kawasan panas sekitar perairan dan daratan Sabah.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus melaksanakan operasi secara agresif dan bersepadu demi mengekang aktiviti penyeludupan yang mengancam ekonomi dan keselamatan negara.

“Orang awam diminta untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti haram agar tindakan sewajarnya dapat diambil segera,” katanya.

Comment