KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sahaja bertanggungjawab memerangi rasuah malah berperanan membantu kerajaan dalam mengekang ketirisan agar tidak berlaku dalam tempoh jangka panjang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pendekatan itu penting khususnya di Sabah supaya impaknya dapat dirasai semua pihak secara berterusan.
“Halatuju di negeri ini bukan hanya memfokuskan kepada pencegahan rasuah semata-mata tetapi juga bagaimana kita boleh membantu kerajaan negeri mengekang ketirisan agar usaha ini memberi impak yang berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Sabah yang berlangsung di Auditorium Blok A, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah dilantik sebagai Pengarah SPRM Sabah baharu berkuat kuasa 15 Ogos menggantikan Datuk Karunanithy Y. Subbiah yang akan memulakan tugas baharunya sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang.
Ahmad Khusairi berkata, sepanjang mengetuai SPRM Sabah, Karunanithy memainkan peranan penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap SPRM dan memimpin beberapa operasi besar membanteras rasuah serta salah guna kuasa.
“Beliau menunjukkan komitmen luar biasa dan kepimpinan yang tegas serta strategik sehingga berjaya menghadapi pelbagai cabaran besar dalam tempoh hampir enam tahun berkhidmat,” katanya.
Mengulas pelantikan baharu itu, Ahmad Khusairi berkata, pemilihan Mohd Fuad yang juga anak jati Sabah akan terus memperkukuh agenda pencegahan rasuah menerusi pendekatan lebih agresif dan berstrategi.
Sementara itu, Karunanithy dalam ucapannya menghargai sokongan pelbagai pihak termasuk jabatan Persekutuan dan Negeri serta media yang membantu melancarkan tugas SPRM Sabah sepanjang beliau menerajui agensi itu.
“Kejayaan SPRM Sabah dalam sektor operasi dan pencegahan adalah hasil kerjasama strategik semua pihak. Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Sabah khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dengan sokongan terhadap pelbagai inisiatif yang dibawa sepanjang saya menjawat jawatan ini,” katanya.
Beliau berkata, tempoh perkhidmatannya di SPRM Sabah bermula pada 17 September 2019 dan akan berakhir pada 15 Ogos 2025 menjangkau tempoh lima tahun 11 bulan sebelum memulakan tugas baharu di Pulau Pinang.
“Saya menyeru warga SPRM Sabah agar terus mengekalkan budaya kerja yang berintegriti serta profesionalisme dalam melaksanakan amanah,” katanya.
Turut hadir ke majlis itu ialah Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah