Mohd Khalid Ismail dilantik Ketua Polis Negara baharu
15:06 Jun 20, 2025  |  By SabahKini2
Mohd Khalid Ismail dilantik Ketua Polis Negara baharu

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR: Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara.

Beliau menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang menamatkan kontraknya, hari ini.

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Majlis serah terima tugas dimulakan dengan upacara penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat Ketua Polis Negara kepada Mohd Khalid yang disempurnakan Saifuddin.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas serta penyerahan tongkat kuasa disaksikan oleh Saifuddin.

Mohd Khalid yang dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah pegawai berpengalaman dalam bidang risikan/keselamatan sejak mula berkhidmat dalam pasukan PDRM pada 5 April 1987.

Beliau ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, selepas tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun sama.

Beliau mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen dan luar negara, selain pernah menjawat jawatan utama sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I serta Security Liaison Officer (SLO) London, United Kingdom.

Mohd Khalid kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April lalu.

Perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas diteruskan selepas bersara apabila dilantik secara kontrak mulai 8 April lalu sehingga kini.

Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Mohd Khalid dilihat mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui PDRM.

Comment