LAHAD DATU: Polis sedang giat mengesan rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini susulan penahanan dua lelaki warga asing dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Tapis, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, dalam serbuan pertama di kawasan Batu 3, Jalan Segama, seorang lelaki warga Filipina berusia 23 tahun diberkas bersama 5.71gram syabu.
"Hasil siasatan awal, suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar atau ‘transporter’ dadah berkenaan.
"Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, dalam serbuan kedua di kawasan kebun sawit Batu 8, Jalan Segama, seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 27 tahun yang bekerja sebagai buruh turut ditahan bersama 0.19gram syabu.
“Ujian air kencing mendapati suspek kedua positif dadah jenis Amphetamine (Amp) dan Methamphetamine.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan dianggarkan bernilai RM649,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis akan terus melipatgandakan operasi serta risikan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Lahad Datu,” katanya.