KOTA KINABALU: Sebuah lori tangki yang membawa muatan campuran diesel dan petrol terbakar di Jalan Bertingkat Sulaman, berhadapan Taman Indah Permai, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.31 malam sebelum jentera bomba tiba di lokasi pada jam 11.49 malam.
“Pasukan bomba mendapati lori tangki yang terbakar itu membawa kira-kira 27,000 liter bahan bakar.
"Kebakaran itu telah memusnahkan kira-kira 30 peratus daripada struktur tangki lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa, dan usaha pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dalam masa singkat.
"Operasi membabitkan kekuatan seramai 30 anggota dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas, bersama dua jentera FRT, satu tangki air, tiga unit RIM, satu EMRS dan dua kenderaan utiliti.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran hose reel dan beberapa aliran sepanjang 200 kaki selain empat gelen buih khas (foam) untuk mengekang api daripada merebak dan mengawal suhu dalam tangki,” katanya.
Beliau berkata, kamera pengesan haba (thermal image camera) turut digunakan bagi memastikan suhu dalam tangki menurun ke tahap selamat sebelum proses pemindahan baki minyak dilakukan oleh pihak syarikat.
"Sebaik keadaan disahkan selamat, baki minyak dipindahkan ke lori tangki lain dengan pemantauan penuh dari pasukan bomba.
“Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.06 tengah malam dan ditamatkan pada jam 3.40 pagi,” katanya.