KOTA KINABALU: Lebih 1,000 jemaah hadir mengimarahkan Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.
Majlis tahunan yang diadakan pada Khamis anjuran kerajaan negeri dengan seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu bertujuan memperkukuhkan silaturahim antara pemimpin dan rakyat selain menjadi wadah bermunajat memohon perlindungan serta kesejahteraan untuk kepimpinan negeri dan rakyat.
Musa yang hadir bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin tiba di Masjid Negeri Sabah (MNS) sekitar pukul 6.20 petang dan disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmy Yahya dan isteri, Datin Dayang Siti Noor Hayyat Awang Mohd Saufi.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti Solat Sunat Hajat, bacaan Surah Yassin serta Tahlil yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting. Ia disusuli dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Turut diadakan tazkirah bertajuk Kepentingan Solat Dalam Kehidupan yang disampaikan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
Solat Isyak berjemaah diadakan sekitar pukul 7.48 malam, sebelum majlis diteruskan dengan acara memotong pulut kuning dan jamuan makan malam bagi meraikan ulang tahun kelahiran rasmi Yang Dipertua Negeri.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan isteri, Datin Seri Nuinda Alias; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim M. Yahya serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.