Hajiji terima kunjungan hormat Menteri Digital Malaysia Gobind Singh Deo
00:06 Jun 20, 2025  |  By SabahKini2
Hajiji terima kunjungan hormat Menteri Digital Malaysia Gobind Singh Deo

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan sokongan kerajaan Persekutuan, pihaknya yakin usaha itu dapat dipercepatkan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri amat menekankan kepentingan memperluas capaian digital kepada semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan sokongan kerajaan Persekutuan, pihaknya yakin usaha itu dapat dipercepatkan.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Katanya, transformasi digital adalah antara komponen utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurutnya, ia bagi merangsang pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Kunjungan itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Gobind ke Sabah, termasuk menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) Negeri.

Hajiji menyambut baik kunjungan itu dan menzahirkan penghargaan kepada Gobind atas komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam menyokong agenda digital negeri ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim dan pegawai kanan Kementerian Digital Malaysia.

Comment