Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa Albert Tei didakwa bersama seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah berkaitan skandal rasuah melibatkan lesen perlombongan mineral di negeri itu, tidak layak menerima perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Albert Tei terbukti terlibat dalam kesalahan yang didedahkannya dan ini tidak memenuhi syarat sebagai pemberi maklumat (whistleblower) yang sah.
“Seksyen 11(1) akta tersebut jelas menyatakan bahawa sesiapa yang terlibat secara langsung dalam salah laku yang dilaporkan tidak layak menerima perlindungan sebagai pemberi maklumat,” katanya.
Tambah beliau, perlindungan hanya diberikan sekiranya laporan dibuat kepada agensi penguatkuasaan yang sah seperti SPRM, polis, atau agensi kerajaan yang berkaitan — dan ia mestilah dibuat dengan niat yang baik, bukan untuk tujuan jahat seperti membalas dendam, menfitnah atau melindungi diri sendiri.
“Peruntukan ini penting bagi menjaga integriti proses pendedahan dan mengelakkan ia disalahgunakan sebagai ‘perisai’ oleh pelaku jenayah sendiri,” katanya lagi.
Kenyataan ini merujuk kepada peguam Albert Tei, Mahajoth Singh yang kecewa anak guamnya merupakan pemberi maklumat tetapi dimaklumkan akan didakwa di Mahkamah pada 30 Jun ini.
Sebelum ini, beberapa rakaman video tular didalangi Malaysiakini disebarkan secara sengaja kerana balas dendam pemberi rasuah Albert Tei yang kecewa semua 13 lesen carigali dibatalkan selepas kantoi bersekongkol dengan Jontih Enggihon bekas CEO SMM.
Bukan itu saja dalam beberapa siri temubual podcast Dato' Albert Tei tidak segan silu menyerang Kerajaan Sabah seolah-olah beliau sebagai 'Whistleblower' namun dalam masa sama mengaku memberi rasuah RM3 juta kepada pelbagai pihak kerana marah pihak yang tidak menunaikan permintaannya. Beliau terus melempiaskan dendamnya seolah-olah beliau tidak bersalah sedangkan beliaulah PUNCA rasuah di syarikat SMM milik Kerajaan Sabah berlaku.
Dalam satu sidang di Kota Kinabalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan bahawa dua Adun Sabah dan seorang individu lain akan dihadapkan ke mahkamah dalam bulan ini susulan siasatan kes tersebut. Namun setakat ini hanya seorang adun yang bakal didakwa iaitu Datuk Dr Yusof Yakub Adun Sindumin Sipitang.
Dr Yusof yang melompat parti dari Warisan ke UMNO dan kini ke GRS merupakan pengerusi GLC Qhazanah Sabah.
[ARTIKEL BERKAITAN- Skandal Mineral Sabah: Albert Tei 'Pemberi rasuah' dan Adun Sindumin Yusof Yacob bakal didakwa ]