Tiga penempatan PTI diserbu JIM Sabah, 187 ditahan
19:06 Jun 18, 2025  |  By SabahKini2
Tiga penempatan PTI diserbu JIM Sabah, 187 ditahan

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata operasi bermula kira-kira jam 1 pagi itu melibatkan 108 pegawai dan anggota penguat kuasa yang digerakkan hasil risikan dan aduan awam sejak seminggu lalu.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 187 pendatang tanpa izin (PTI) dalam serbuan di tiga penempatan warga asing sekitar ibu negeri, awal pagi tadi.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata operasi bermula kira-kira jam 1 pagi itu melibatkan 108 pegawai dan anggota penguat kuasa yang digerakkan hasil risikan dan aduan awam sejak seminggu lalu.

Katanya, dalam operasi ini, seramai 260 individu diperiksa yang terdiri daripada warga asing dan tempatan. Hasilnya, 187 PTI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Daripada jumlah itu, 41 adalah lelaki, 43 wanita, 56 kanak-kanak lelaki dan 46 kanak-kanak perempuan, kesemuanya warga Filipina, manakala seorang lelaki warga Indonesia turut ditahan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, semua PTI terbabit dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI yang melanggar undang-undang negara,” katanya.

“Sehingga kini, JIM Sabah sudah memeriksa 15,092 individu dalam pelbagai operasi di seluruh negeri, dengan 2,777 tangkapan dilakukan serta 6,290 PTI dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti PTI atau premis yang menggaji warga asing secara tidak sah kepada pihak berkuasa.

“JIM akan terus komited melaksanakan tanggungjawab dalam menjamin keselamatan dan kedaulatan negara serta memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan bekerja dan tinggal di Malaysia,” katanya.

Comment